Tuesday 1 May 2012

Belajar Melalui Bermain. Cara Terbaik Si Kecil Belajar?

Sumber: Majalah Pa & Ma

Ni Gambar Hiasan jer.. Kak Long tgh main ngan adik..huhuh


Kanak-kanak yang kurang diberi peluang bermain kerana ketaksuban ibu bapanya serta guru pra sekolahnya ingin memberi pendidikan berbentuk akademik semata-mata, tidak dapat menikmati sepenuhnya usia pra formal mereka. Saya pasti anda sudah sedar berdasarkan perbincangan kita bahawa kecenderungan dan keinginan untuk bermain bukan sekadar hobi atau perbuatan membuang masa untuk kanak-kanak.

Kecenderungan dan keinginan kanak-kanak untuk bermain lahir dari naluri mereka untuk meneroka serta mengumpulkan pengalaman-pengalaman baru tentang dunia di sekeliling mereka dan juga mengenai kehidupan. Melalui penerokaan ini dan dengan pengalaman yang dikumpulkan, kanak-kanak akan mula belajar dan mereka boleh menguasai ilmu pengetahuan dengan cepat!

Amat kasihan si kecil yang dipaksa duduk ‘belajar’ seperti anak remaja atau orang dewasa di dalam kelas. Lebih kasihan lagi apabila ada kanak-kanak yang disuruh pula menghadiri kelas tuisyen dan kelas tambahan pada usia yang sebegitu muda dengan alasan ia sebagai persediaan untuk menjadikan mereka generasi ‘genius’ atau ‘pintar cerdas’...

Kanak-kanak perlu diberi peluang dan ruang untuk menjadi ‘kanak-kanak’ dalam dunia mereka sendiri. Jika mereka berterusan dipaksa menguasai ilmu akademik, ia tidak pula bermakna secara automatik mereka akan menjadi seorang genius secara serta-merta. Namun hari demi hari, aktiviti bermain semakin dikurangkan dan kadangkala ditiadakan terus dalam kamus hidup si kecil kontemporari.

Dua Aktiviti Terakhir ‘Bermain Untuk Belajar’
Walau bagaimanapun, saya percaya dan amat yakin bahawa anda yang sedang membaca dan yang selalu setia mengikuti ruangan ini mempunyai pemikiran yang jauh lebih terbuka dan holistik dengan pandangan dunia yang lebih luas berbanding ibu, bapa serta pendidik prasekolah lain.

Hari ini memang agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada perangkap kepercayaan umum (common sense). Kemudian ada pula yang menggelar diri ‘pakar’ cuba memberi perspektif baru tentang dunia si kecil kontemporari – misalnya cara untuk menjadikan anak kita seorang ‘genius’. Namun, apabila difikirkan secara logik dan semakin topik seperti ini diperhalusi nyata ia tidak lebih daripada slogan komersial dan iklan kosong yang tidak mempunyai atau kurang bukti-bukti sahih dari penyelidikan saintifik.

Oleh itu, untuk meneruskan perbincangan kita, bulan ini dua aktiviti ‘Bermain Untuk Belajar’ terakhir perlu kita cuba fahami sebagai usaha dan wadah kita membentuk jati diri kanak-kanak pra formal generasi pasca tahun 2000. Moga-moga dengan memberi peluang dan ruang kepada si kecil untuk bermain, kita akan dapat pula membantu mereka mengumpulkan ilmu pengetahuan yang berguna demi masa depan mereka kelak.

Bermain Untuk Belajar - Aktiviti ‘Bermain’ Dengan Bahasa
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak pra formal! Ia bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia 2 tahun anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang amat menarik (lagi melucukan) ini.

Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya sendiri, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya sendiri misalnya sebelum waktu tidur atau apabila dia bangun setiap pagi. Kadangkala, kita yang memerhati tidak akan faham tutur kata si kecil namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa akan penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Ia juga akan diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walaupun dia sedang bercakap dengan dirinya sendiri!

Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga menjadi semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.

Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh ibu, bapa atau guru pra sekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin ketara ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa. Pada masa yang sama kemahiran asas berbahasa seperti kemampuan meniru sistem bunyi (atau fonologi), penguasaan perbendaharaan kata dan erti perkataan (atau semantik), penguasaan tata bahasa dan nahu, serta penguasaan bahasa yang sesuai berdasarkan situasi (atau pragmatik) – berkembang pada kadar yang menakjubkan sejajar dengan kekerapan aktiviti bermain dengan bahasa.

Ertinya, jika kita dapat membantu, mendorong dan memberi ruang serta peluang kepada si kecil untuk bermain dengan bahasa sedapat mungkin, kita sebenarnya akan membantu perkembangan minda dan proses pembentukan pandangan dunianya (atau world view). Segala-galanya bermula apabila seorang bayi mula membuat bunyi-bunyi yang aneh dan lucu. Siapa sangka kalau perbuatan ini sebenarnya menjadi asas kepada perkembangan minda dan proses pembentukan acuan pemikiran yang lebih kompleks?

Nasihat ikhlas saya, saya disia-siakan peluang yang ada jika buah hati kesayangan anda sedang berada dalam lingkungan usia 2 hingga 4 tahun. Ambil bahagian dalam aktiviti bermain dengan bahasa mereka kerana peluang ini hanya datang sekali dalam hidup anak kesayangan anda itu. Sambil bermain dengannya, anda sebenarnya sedang mengambil bahagian dalam pembentukan diri seorang individu yang amat istimewa.

Bermain Untuk Belajar - Aktiviti Bermain Berimaginasi
Jika anda mengikuti perbincangan kita sejak bahagian pertama siri artikel ini, anda pasti sedar bahawa setiap aktiviti bermain dalam dunia si kecil pada usia pra formal akan membantu perkembangan jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Aktiviti bermain berimaginasi sebenarnya mempunyai potensi untuk membantu perkembangan empat dimensi berbeza ini secara serentak. Dalam erti kata lain, ia boleh kita lihat sebagai aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak!

Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain. Misalnya jika anda berpura-pura untuk tidur di sebelahnya, anak kesayangan anda itu juga akan cepat tidur secara olok-olok. Bukan itu sahaja, bintang hati anda itu boleh ‘menidurkan’ anak patungnya atau beruang teddynya jika dia disuruh tidur.

Ini adalah contoh lazim permulaan aktiviti bermain berimaginasi. Ia adalah aktiviti yang penuh dengan imaginasi kerana ia memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (anda) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan yang berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh anak anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.

Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi seperti biasa ia akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, ia akan menjadi babak yang lebih panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.

Itu sebabnya dalam lingkungan usia 3 tahun dan ke atas, si kecil akan menunjukkan kemampuan dalam aktiviti bermain berciri sosiodramatik (sociodramatic play). Ia sebahagian aktiviti bermain berimaginasi cuma aktiviti bermain sosiodramatik lebih rumit kerana ia mengandungi berbagai-bagai unsur, perkara atau peranan yang berbeza dan ia juga melibatkan pembabitan aktif orang lain (lazimnya kanak-kanak sebaya) yang bukan hanya menjadi penonton semata-mata.

Peranan yang dimainkan oleh si kecil mungkin menjadi semakin panjang lebar dan ia mungkin juga menunjukkan ciri-ciri penceritaan daripada dunia sebenar, misalnya cara orang dewasa bercakap sesama mereka atau perkara-perkara yang terjadi di klinik apabila si kecil sakit dan perlu berjumpa doktor. 1001 jenis situasi boleh ‘dihidupkan’ oleh kanak-kanak melalui aktiviti bermain sosiodramatik.

Lebih menarik lagi, mereka akan mula belajar nilai empati dan simpati misalnya dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain berimaginasi ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan pakar perkembangan kanak-kanak juga menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini akan membantu si kecil belajar untuk berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan kita sehari-hari.
Adik try untuk runtuhkan Lego yg Kak Long bina.. 

No comments:

Post a Comment